Sabtu, Jun 18, 2011

Perkongsian: Mari Belajar Menjadi Besar

Bismillah..

Senario umum

“Isy, tak mahu la ambik jurusan tu…cam susah je bunyi nya”, “aku tak layak la nak pegang jawatan ni, ko je la yang pegang..”, “jauhla university tu…nak kene naik bot panjang la ape laa…isy tak mahu la…ambik kolej je la, dekat sikit dengan rumah”

Itu merupakan antara alasan-alasan yang kerap kali kita dengar. Tidak kiralah sama ada ia terpacul daripada mulut kawan-kawan kita ataupun daripada mulut kita sendiri.

Sikap yang tidak patut ada pada kita. Tidak suka berfikir panjang, suka men’general’kan sesuatu, suka berfikiran negetif terhadap sesuatu dan mungkin juga suka ambil jalan mudah terhadap sesuatu masalah.

Saya selalu membuat pemerhatian terhadap orang-orang di sekitar saya.

Dan keputusannya, seperti yang saya jangka.

Perasaan sering merasa kerdil diri. Tidak merasa diri mampu untuk memikul beban yang mungkin sukar jika dilihat sepintas lalu, sedangkan ia mampu. Takut untuk mengambil risiko(yang ini mungkin sedikit tegas dan perlukan ulasan yang panjang) dan pelbagai ragam lagi.

Mari menjadi besar

Menjadi besar tidak sama seperti merasa besar.

Menjadi besar adalah dalam rangka untuk membentuk diri menjadi seorang hamba Allah yang dapat meng’eksploitasi’kan segala kekurangan dan kelebihan. Kekurangan yang ada pada diri kepada suatu keistimewaan. Kelebihan pada diri sebagai suatu peluang.

Keistimewaan untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Peluang untuk berbakti dengan kelebihan yang ada.

Bukan kah itu lebih indah?

Manakala merasa besar pula boleh didefinisikan dengan merasa hanya dirinya yang terbaik berbanding individu lain. Merasa besar diri dan yang seumpama dengannya.

Bangga diri dan merendah-rendahkan orang lain itu juga anak pinak kepada merasa diri mereka besar.

Saya yakin, anda semua pasti biasa dengar istilah-istilah seperti ‘Berjiwa Besar, Berfikir Besar, Bervisi Besar, Think Big’.

Adakah sama pengertiannya dengan ‘Besar Diri’?.

Ya, pastinya tidak sama.

Itulah yang sepatutnya ada dalam diri kita, para pelajar Islam, Melayu. Perlunya kepada berfikiran luas yang terbuka mindanya, malah tidak kaku atau tidak statik pemikirannya. Berperibadi mulia, berperibadi besar, berjiwa besar, sentiasa berfikiran positif.

Mari kita bersama, tanamkan dari saat ini.

Wujudkan peluang dalam setiap cabaran yang datang. Jangan mudah merasa diri itu tidak mampu.

Hasan al-Banna mula dakwahnya di warung kopi

Pasti akan ada yang mempersoalkan, bagaimana mahu menjadi besar? Dan sejauh mana keberkesanannya untuk menjadi seorang yang lebih ‘advance’ berbanding orang lain.

Jawapan ringkas saya, belajarlah daripada alam sekitar. Belajarlah dengan apa yang di sekeliling kita. Lihat masyarakat sekitar. Bergaul dengan masyarakat sekeliling. Berbual dengan pakcik-pakcik jiran sebelah rumah. Bergeraklah sekeliling untuk mencari peluang-peluang lain yang ada.

Hasan al-Banna memulakan dakwahnya di warung-warung kopi. Tempat di mana ramainya orang. Bukan sekadar di masjid dan surau-surau. Mengapa? Untuk mengambil peluang bertemu orang ramai, untuk membuat suatu perubahan ‘besar’. As-syahid ‘bervisi besar’. Targetnya bukan sikit-sikit, tapi besar-besar.

Bukannya tiada penentangan, ada. Masakan tiada penentangan apabila hendak mengajak kepada kebaikan. Penentangan tersebutlah yang membuatkan as-syahid belajar. Belajar metod-metod yang lebih baik untuk mendekati masyarakat.

Tidak salah jika kita juga mencubanya bukan?

Ya. Kita yang bergelar pelajar ini. Iaitu dalam rangka untuk menjadikan kita lebih baik.

Agar kita juga dapat memberi manfaat bukan sekadar diri kita, tetapi kawan-kawan kita, masyarakat dan yang lebih utama, kepada agama kita.

Penutup: Allah lihat pada usaha

Belajarlah menjadi besar. Lakukan perubahan untuk menjadi peribadi besar.

Usaha kita Allah nilai.

Walaupun setelah kita berusaha untuk maju tetapi seakan-akannya tiada juga perubahan, ketahuilah bahawa para malaikat telah mencatitnya sebagai amal usaha baik kita.

Kepada adik-adik, teman-teman di luar sana yang menghadapi masalah peribadi, masalah dalam pelajaran dan sebagainya, janganlah merasa kerdil diri, kecil hati dan rasa diri tak mampu.

Marilah kita belajar untuk menjadi seorang yang berjiwa besar, berperibadi besar dan bervisi besar.

p/s: ulasan saya daripada buku karangan Solikhin Abu Izzudin, Zero to Hero, bab Belajar Menjadi Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan