Khamis, Jun 17, 2010

Pengisian: Kenakalan mata yang menyeksa hati

Pandangan mata mampu menarik pelakunya untuk
melakukan hal-hal yang merosakkan hati.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.[30]

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka…..[31]”

Annur(30-31).

Saya yakin dan percaya bahawa ayat 30-31 surah Annur ini telah biasa anda dengar dalam kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah anda semasa di bangku sekolah.

Persoalannya, sejauh manakah diri ini membumikan perintah agung Sang Pencipta Mata dan Hati kita ini?

Sungguh saya insan yang sangat lemah.

Kita semua insan yang lemah.

Namun jangan pula kita jadikan ia alasan untuk kita tidak patuhi akan perintah tersebut.

Saya akui, kelemahan saya dalam menjaga pandangan telah banyak mengakibatkan kerosakan pada diri saya, diri orang-orang di sekitar saya terutama sekali pada tempat yang bernama hati.

Maafkan saya.

Hubungan Mata dan Hati

Larangan Allah dalam firmanNya di atas sungguh mampu menggegar getarkan hati-hati yang hidup.

Dimana larangan utama Nya terhadap sang mata yang harus ditundukkan mampu memelihara kemaluan atau bahasa lembutnya memelihara kehormatan diri.

Masakan apabila kehormatan diri tercalar akibat kenakalan sang mata ini menggambarkan bahawa hati nya baik elok dan cantik?

Ya. Tidak jawapannya.

Memetik tulisan Ibnu Qaiyyim al-Jauzi dalam kitabnya Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqqin, Allah SWT menjadikan mata itu sebagai cerminan kepada hati. Jika seseorang itu menahan pandangan matanya, bererti dia menahan syahwah dan keinginan hatinya. Maka sebaliknya pula yang akan berlaku jika dia membiarkan pandangan matanya, bererti dia membiarkan syahwah hatinya.

Allah…

Sungguh bijaksana teguranNya.

Dimanakah kedudukan anda?

Qudwah qabla Da’wah

Larangan dan pengingkaran ini juga telah ditunjukkan oleh Baginda SAW, tatkala Baginda bersama seorang sahabat bernama al-Fadhl bin Abbas r.a yang membonceng Baginda pada perlaksanaan korban dari Muzdalifah hingga ke Mina. Tiba-tiba ada beberapa unta yang dinaiki wanita sedang lalu, dan ketika itu al-Fadhl sedang memandang kearah mereka, lantas Baginda SAW memalingkan kepala al-Fadhl kearah lain.

Kisah ini terkandung di dalam kitab as-Sohih dan saya petik juga dari kitab al-Jauziyah.

Baginda memberi tunjuk ajar langsung dengan perbuatan Baginda itu kepada al-Fadhl.

Andaikata pandangan itu diharuskan, tentunya Baginda SAW membiarkan sahaja perbuatan al-Fadhl itu.

Kaitkanlah dengan situasi kita zaman ini.

Walaupun unta tidak akan kita jumpa di tengah jalan di negara kita ini, tetapi kenderaan yang semacam unta tidak mustahil untuk kita ketemui.

Motorsikal, basikal dan mungkin sahaja alatan jogging.

Jagalah pandangan anda.

Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis sohih maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak keturunan Adam bahagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian tanpa diingkari. Mata itu boleh berzina dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu boleh berzina dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu boleh berzina dan zinanya adalah ayunan langkah. Tangan itu boleh berzina dan zinanya adalah tangkapan yang keras. Hati itu boleh berkeinginan dan berangan-angan. Sedangkan kemaluan membenarkan yang demikian itu atau mendustakannya.”

(HR al-Bukhari, Muslim, an-Nasai dan Abu Daud)

Hadis ini merupakan bukti jelas akan kenakalan dan kederhakaan yang boleh dilakukan oleh mata akibat pandangan yang tidak dijaga atau pandangan mata yang bebas liar memandang apa yang diingini, dan itulah zinanya.

Penutup: Jangan ikuti pandangan dengan pandangan lagi

Biasakah dengan ungkapan ini, “Rezeki kau tu kalau terpandang dia(wanita/lelaki)…” biasakah?

Saya pun tidak tahu dimana pucuk pangkal asal ungkapan tersebut.

Namun disini saya bawakan pula, pesanan Baginda SAW kepada Saidina Ali yang bermaksud:

“Wahai Ali, janganlah engkau ikuti pandangan dengan pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagian mu (tetapi dosa atasmu).”

(HR Ahmad, Tirmizi dan Abu Daud)

Al-Jauziyah menghuraikan lagiuntuk kemudahan pembaca kitabnya dengan menyatakan bahawa, Baginda SAW menyatakan bahawa pandangan pertama merupakan bahagian ataupun keuntungan baginya(orang yang terpandang sesuatu yang tidak syarak benarkan) sedangkan untuk pandangan yang kedua(dimana pandangan ini bukan lagi suatu yang tidak disengajakan tetapi sengaja dibuat) bukan lagi merupakan keuntungan buatnya ataupun tuah baginya, dengan kata lain, adalah dosa baginya.

Oleh sebab itu, jika perkara seperti seorang lelaki terlihat wanita atau seorang wanita terlihat lelaki maka inilah jawapannya.

Tiada pandangan yang harus diikuti dengan pandangan lagi.

Panahan-panahan syaitan ada dalam pandangan kita.

Bersama kita pelihara mata dan hati.

Agar cita dan cinta kita perolehi.

Membentuk peribadi muslim yang sejati.

Moga Allah redha.

p/s: nama buku ini yang sudah diterjemahkan kedalam BM dan berada dipasaran namanya agak lain sedikit, Panduan Bercinta dan Memendam Rindu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan