Jika diimbas kembali tahun-tahun yang lalu, amat jarang sekali bagi saya untuk mengingati tarikh peristiwa-peristiwa umum yang disambut di negara kita.
Sungguh, pendapat saya pada ketika itu, apa ada pada tarikh tersebut? Bila tiba hari tersebut, saya sekadar berkata, “oh hari ini hari buruh ke…oh hari ini hari ibu ke…oh hari ini hari guru ke…”
Ia sekadar datang dan pergi, berlalu begitu sahaja. Bukannya tiada sambutan yang di jalankan, ada. Malah saya juga turut meraikannya. Cuma, meraikannya kerana orang lain juga sibuk menyambutnya, meraikannya kerana kawan-kawan semua turut menyambutnya. Cukup setakat itu sahaja, noktah.
Namun, semua mula berubah tatkala umur saya semakin meningkat. Saat rasional akal mula datang menjengah minda. Tatkala diri mula disapa cinta.
Cinta seorang yang bergelar guru.
Lalu mengajar saya erti menghargai serta mendidik diri untuk rasa dihargai.
Bingkisan Cinta 1
Bingkisan cinta pertama khas saya tujukan buat insan yang bergelar ibu dan ayah saya.
Puan Nor’aini Atan dan Encik Ahamad Farid Abdullah.
Merekalah guru pertama saya dalam dunia ini.
Kasih sayang yang mereka curahkan pada diri saya dan adik-adik, tidak akan mampu terbalas sampai ke hujung nyawa sekali pun.
Ketabahan mereka melayani pelbagai kerenah kami, adik beradik sungguh hanya Allah yang mampu membalasnya.
Nilai didikan asas yang mereka terapkan banyak membentuk saya menjadi insan lebih tabah.
Saya amat cintakan mereka.
Bingkisan Cinta 2
Guru kedua selepas ibu dan ayah saya semestinya para guru atau cikgu-cikgu di sekolah.
Saya sangat bersyukur kerana dalam hidup saya, telah hadir mengisi ruang-ruang kosong dalam jiwa saya adalah guru atau cikgu yang sangat komited dan dedikasi terhadap tugasan mereka sebagai pendidik anak bangsa.
Daripada tadika furqan, saya menjejakkan kaki pula ke SRK Bdr Baru Bangi. Kemudian saya ke SMK Bdr Baru Bangi pula, yang terletak di belakang sekolah rendah saya sahaja. Semasa di sana, saya berjaya menamatkan tingkatan tiga saya dengan lulus cemerlang dan ditawarkan untuk memasuki KISAS, sebuah sekolah agama berasrama penuh, yang terletak di Bandar Klang.
Kemudian, saya telah ditawarkan untuk memasuki ke alam matrikulasi, dimana saya tercampak nun jauh di Changlun Kedah sana.
Seperti suatu medan latihan praktikal buat saya, apabila menjejakkan kaki ke kolej matrikulasi, saya ditawarkan pula pelbagai jawatan penting bagi mewakili suara pelajar kolej. Dan saya terima tawaran tersebut.
Bertitik tolak di situ, semakin ramai pula tenaga pengajar di sana yang saya kenali.
Saya sangat gembira.
Buat para guru dan ‘lecturer’ yang telah mengajar serta mendidik diri saya secara langsung atau tidak langsung, jazakumullah khairan kathira.
Moga Allah berkati segala ilmu yang telah dikau curahkan kepada ku.
Sesungguhnya, segala kebaikan yang telah kau ajarkan padaku, akan aku amalkan dan hadiahkan buatmu, sebagai bekalan sahammu di akhirat kelak.
Bahawa dirimu telah menjalankan dengan sedaya upaya, segala tugasan dan amanah untuk mendidik ku, sehingga dapat menjadi insan yang terbaik di dunia dan akhirat.
Sungguh, terlalu ramai jika hendak saya senaraikan nama-nama mereka. Cukuplah secara umum saya ungkapkan di sini, agar tidak mengecilkan hati mana-mana pihak.
Penutup: Mereka insan yang sangat istimewa
Kehadiran mereka telah mewarnai kehidupan saya sepanjang tempoh pengajian saya di bangku sekolah. Pelbagai jenis gaya pengajaran telah saya lalui sepanjang tempoh ini.
Ada yang tegas garang dalam setiap bait katanya, ada yang lembut tegas dan ada juga yang santai dan kelakar dalam kaedah pengajaran mereka sewaktu di dalam bilik darjah.
Sungguh pada saya, itu sedikit pun tidak memberi tekanan kepada saya dalam mengadaptasi suasana pembelajaran yang berbeza-beza tersebut.
Malah telah memberi saya suatu kelebihan dalam menghadapi pelbagai cabaran di masa akan datang, bahawa kepelbagaian dalam kaedah pembelajaran ini, merupakan suatu yang ‘normal’ dalam hidup seorang pelajar.
Juga secara tidak langsung, memberi pengajaran kepada saya bahawa untuk menjadi yang terbaik itu, bukanlah mudah.
Ya, untuk menjadi yang terbaik itu tidak semudah ABC. Pelbagai cabaran harus ditempuh terlebih dahulu. Cabaran menghadapi pelajaran yang sukar atau susah, cabaran menghadapi tenaga pengajar atau ‘lecturer’ yang tegas atau ‘strict’ dalam pemarkahan dan segala macam bentuk dugaan lagi.
Sungguh saya amat beruntung dapat mengenali mereka, insane yang sangat istimewa.
Saya yakin, anda di luar sana juga pasti ada kenangan pahit manis bersama insan istimewa yang bernama guru ini.
Selamat Menyambut Hari Guru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan