Selasa, Mei 18, 2010

Pengisian: Belajar Menjadi Besar

Berperibadi BESAR itu bukan besar DIRI~betterphoto.com

Bismillah..

“Isy, tak mahu la ambik jurusan tu…cam susah je bunyi nya”, “aku tak layak la nak pegang jawatan ni, ko je la yang pegang..”, “jauhla university tu…nak kene naik bot panjang la ape laa…isy tak mahu la…ambik kolej je la, dekat sikit dengan rumah”

Itu merupakan antara alasan-alasan yang kerap kali kita dengar. Tidak kiralah sama ada ia terpacul daripada kawan kita ke atau siapa sekali pun.

Sikap yang tidak patut ada pada kita. Tidak suka berfikir panjang, suka men’general’kan sesuatu, suka berfikiran negetif terhadap sesuatu dan mungkin juga suka ambil jalan mudah terhadap sesuatu masalah.

Saya selalu membuat pemerhatian terhadap orang-orang di sekitar saya.

Dan keputusannya, seperti yang saya jangka.

Perasaan sering merasa kerdil diri. Tidak merasa diri mampu untuk memikul beban yang mungkin sukar jika dilihat sepintas lalu, sedangkan ia mampu. Takut untuk mengambil risiko(yang ini mungkin sedikit tegas dan perlukan ulasan yang panjang) dan pelbagai ragam lagi.

Mari menjadi besar

Menjadi besar tidak sama seperti merasa besar.

Menjadi besar adalah dalam rangka untuk membentuk diri menjadi seorang hamba Allah yang dapat meng’eksploitasi’kan segala kekurangan dan kelebihan. Kekurangan yang ada pada diri kepada suatu keistimewaan. Kelebihan pada diri sebagai suatu peluang.

Keistimewaan untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Peluang untuk berbakti dengan kelebihan yang ada.

Bukan kah itu lebih indah?

Manakala merasa besar itu pula adalah dengan merasa hanya dia yang terbaik. Bangga diri dan merendah-rendahkan orang lain itu juga anak pinak merasa diri besar.

Biasa dengar, ‘Berjiwa Besar, Berfikir Besar, Bervisi Besar’?

Adakah sama pengertiannya dengan ‘Besar Diri’.

Ya, pastinya tidak sama.

Itulah yang sepatutnya ada dalam diri kita, para pelajar Islam, Melayu. Bukannya tiada, ada. Cuma masih tidak ramai.

Mari kita bersama, tanamkan dari saat ini.

Wujudkan peluang dalam setiap cabaran yang datang. Jangan mudah merasa diri tidak mampu.

Hasan al-Banna mula dakwahnya di warung kopi

Pasti akan ada yang persoalkan bagaimana untuk menjadi besar. Dan sejauh mana keberkesanannya untuk menjadi seorang yang lebih ‘advance’ berbanding orang lain.

Jawapan ringkas saya, belajarlah daripada alam sekitar. Belajarlah dengan apa yang di sekeliling kita. Lihat masyarakat sekitar. Bergaul dengan masyarakat sekeliling. Berbual dengan pakcik-pakcik jiran sebelah rumah. Bergeraklah sekeliling untuk mencari peluang-peluang lain yang ada.

Hasan al-Banna memulakan dakwahnya di warung-warung kopi. Tempat di mana ramainya orang. Bukan sekadar di masjid dan surau-surau. Mengapa? Untuk mengambil peluang bertemu orang ramai, untuk membuat suatu perubahan ‘besar’. As-syahid ‘bervisi besar’. Targetnya bukan sikit-sikit, tapi besar-besar.

Bukannya tiada penentangan, ada. Masakan tiada penentangan apabila hendak mengajak kepada kebaikan. Penentangan tersebutlah yang membuatkan as-syahid belajar. Belajar metod-metod yang lebih baik untuk mendekati masyarakat.

Tidak salah jika kita juga mencubanya bukan?

Ya. Kita yang bergelar pelajar ini. Iaitu dalam rangka untuk menjadikan kita lebih baik.

Agar kita juga dapat memberi manfaat bukan sekadar diri kita, tetapi kawan-kawan kita, masyarakat dan yang lebih utama, kepada agama kita.

Penutup: Allah lihat pada usaha

Belajarlah menjadi besar. Lakukan perubahan untuk menjadi peribadi besar.

Usaha kita Allah nilai. Walaupun setelah kita berusaha untuk maju tetapi seakan-akannya tiada juga perubahan, ketahuilah bahawa para malaikat telah mencatitnya sebagai amal usaha baik kita.

Kepada adik-adik, teman-teman di luar sana yang menghadapi masalah peribadi, masalah dalam pelajaran dan sebagainya, janganlah merasa kerdil diri, kecil hati dan rasa diri tak mampu.

Marilah kita belajar untuk menjadi seorang yang berjiwa besar, berperibadi besar dan bervisi besar.

p/s: ulasan saya daripada buku karangan Solikhin Abu Izzudin, Zero to Hero, bab Belajar Menjadi Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan